Gambar sekadar hiasan
SEMAKIN maju sebuah negara menuju ke arah perindustrian semakin ramai ibu-ibu yang alpa akan tanggungjawab dalam melengkapkan bayi dengan keperluan susu badan. Islam sendiri amat menggalakkan penyusuan ibu seperti mana yang terkandung di dalam surah Al Baqarah ayat 233 yang bermaksud “dan para ibu hendaklah menyusui anak-anak mereka dua tahun penuh, iaitu bagi yang ingin menyempurnakan penyusuannya…”
Kebanyakan ibu berkarier kembali bekerja selepas tempoh dua bulan. Jadi, bagaimanakah mereka dapat terus menyusu bayi pada waktu bekerja? Mereka perlu merancang dan membuat keputusan yang terbaik untuk masa depan anak mereka. Keputusan untuk menyusu mesti dibuat di peringkat kehamilan lagi.
Masalah yang sering timbul adalah bila si ibu bertekad mahu menyusui anaknya tetapi hasratnya terkubur disebabkan oleh beberapa kekangan. Antaranya, ruang untuk mereka menyusukan bayi atau berada bersama bayi di antara waktu bekerja. Di dalam gerakan koperasi di Malaysia, kita menggalakkan setiap koperasi terutama koperasi kakitangan mempunyai pusat asuhan atau TASKA untuk anak-anak anggota dan kakitangan. Sebagai sebuah organisasi yang berorientasikan tenaga manusia, maka setiap keperluan pekerja haruslah diambil kira bagi memastikan perkara-perkara asas dapat dilaksanakan. Apabila keperluan asas dipenuhi maka setiap pekerja akan merasa selesa dan suka bekerja di organisasi berkenaan. Seterusnya meningkatkan motivasi dalam bekerja. Justeru, tindakan sedemikian memberi impak yang positif kepada organisasi itu sendiri.
Kesedaran mengenai kepentingan susu ibu dapat dipertingkatkan melalui gerakan koperasi itu sendiri. Pelbagai cara untuk meningkatkan kesedaran akan kepentingan susu ibu. Di antaranya ialah tindakan yang boleh diambil oleh koperasi dengan menubuhkan pusat asuhan kanak-kanak atau TASKA yang menggalakkan para ibu menyusukan anak mereka. Kerjasama dari semua pihak harus wujud. Contohnya, pengusaha dan pengasuh TASKA perlu diberi panduan teknik atau cara yang betul dalam memberi bekalan susu ibu kepada bayi. Di samping itu juga, setiap organisasi yang mempunyai TASKA di pejabat perlu menyediakan satu ruang yang nyaman dan selesa kepada pekerjanya bagi membolehkan aktiviti ini berlangsung dengan jayanya.
Terdapat banyak faedah jika setiap ibu dapat menyusui anak sehingga lengkap usianya dua tahun. Kelebihannya dari sudut organisasi kekeluargaan, setiap keluarga dapat berjimat dalam perbelanjaan untuk membeli susu formula, botol susu dan puting. Terdapat pelbagai jenis susu formula di pasaran bagi menampung keperluan para ibu dan bayi. Kadang-kadang timbul kekeliruan mengenai susu formula manakah yang lebih sesuai untuk bayi mereka. Soalan yang timbul ialah adakah susu formula yang lebih mahal itu lebih baik, lebih bermutu dan berkhasiat? Bagi ibu yang mampu mungkin mereka dapat membeli susu formula yang lebih mahal untuk anak mereka yang mengandungi Docosa Hexanoic Acid (DHA), Arachi-donic Acid (AA) dan Lactobacillus Bifidus. Walaupun begitu, adakah zat dan kuman baik ini benar-benar dapat diserap oleh badan setiap bayi? Daripada segi kewangan pula si ibu perlu membelanjakan kira-kira RM 100 sebulan untuk seorang anak bagi mendapatkan zat-zat tersebut. Bagaimanakah jika seseorang itu mempunyai lebih daripada seorang anak. Berapakah belanja yang harus dikeluarkan hanya untuk susu anak?
Di samping itu keluarga juga boleh berjimat kerana tidak perlu memasak air, membersihkan botol dan puting susu. Penggunaan susu formula memerlukan komitmen yang lebih daripada si ibu. Setiap ibu perlu memastikan botol yang digunakan sentiasa di basuh dan disteril dengan baik dan susu yang tidak habis tidak diguna semula. Susu yang terlalu panas juga akan bertindak balas dengan botol dan mengeluarkan satu bahan kimia yang merbahaya kepada kesihatan bayi.
Namun, kelebihan utama pada susu ibu yang tiada tandingnya ialah daya ketahanan badan bayi menjadi lebih kuat dan kecerdasan minda mereka lebih hebat. Kebaikan ini membolehkan bapa menjimatkan kos rawatan. Amalan memberi susu formula tidak menjamin tahap kesihatan yang baik kepada bayi. Walaupun terdapat DHA dan AA, namun zat tersebut belum pasti dapat diserap oleh badan. Antibodi dan pelbagai enzim yang terkandung dalam susu ibu membantu penyerapan seluruh zat yang belum boleh ditiru oleh susu formula. Bahaya lain dalam pemberian susu formula adalah bayi akan lebih mudah atau kerap mendapat cirit birit, jangkitan kuman pada sistem pernafasan, meningitis, jangkitan telinga, alahan, masalah pembelajaran dan perkembangan mental yang mana lebih kerap memerlukan rawatan hospital.
Menurut Profesor Otakar Koldovsky daripada Fakulti Perubatan Universiti Arizona, pemberian susu ibu dapat meningkatkan daya ketahanan badan anak di masa hadapan kerana susu ibu mengandungi zat-zat yang aktif secara biologi dan terdapat 40 faktor pertumbuhan telah ditemui di dalamnya. Di samping itu juga, susu ibu dapat meningkatkan IQ kanak-kanak di mana penelitian di Eropah menunjukkan anak-anak yang berusia sembilan dan lima tahun yang mendapat susu ibu mempunyai IQ dua belas dan sembilan kali lebih tinggi daripada anak seusianya yang tidak mendapat susu ibu.
Kebanyakan ibu akan mengalami masalah kekurangan susu apabila mula bekerja. Bagi meningkatkan penghasilan susu, pastikan ibu mendapat makanan yang seimbang, lebihkan sayur dan air, termasuk makanan dalam pantang, meminum dua liter air setiap hari dan mengambil protein daripada ayam, telur, ikan, daging dan karbohidrat bagi membekalkan tenaga. Seorang ibu juga perlu kekuatan mental dan fizikal seperti sabar, yakin dan mendapat sokongan yang padu daripada semua pihak. Ibu mesti yakin bahawa masalah yang dihadapi adalah bersifat sementara dan boleh diatasi.
Perancangan dari segi mental seorang ibu semasa mengandung harus yakin dan bersungguh-sungguh untuk menyusukan anaknya. Setelah anak lahir, pastikan anak tersebut diberi susu ibu sepenuhnya. Untuk memastikan bekalan susu mencukupi, para ibu dinasihatkan mula memerah susu untuk disimpan di dalam peti ais sebagai ganti semasa ibu tiada di rumah. Bagi ibu yang bekerja, mereka haruslah meluangkan masa untuk memerah susu semasa bekerja sebagai bekalan untuk bayi pada keesokan harinya.
Bagi menjayakan aktiviti ini sokongan yang padu daripada suami, Keluarga, majikan dan rakan sekerja amat perlu. Aktiviti ini tidak boleh dipandang remeh kerana ia akan memberi kesan yang mendalam kepada generasi yang bakal memimpin negara akan datang. Anak kita adalah harapan bangsa kita.
Moood: Nak buat paperwork untuk PERSINT menterjah taska-taska di Terengganu :)





No comments:
Post a Comment